Rabu, Januari 09, 2013

10 sebab berlaku skandal di tempat kerja

Skandal di tempat kerjaBiasa kita dengari istilah skandal di tempat kerja tidak kira lelaki atau perempuan. Lebih teruk lagi jika skandal di kerja itu berlarutan sehingga berlakunya adegan yang tidak sepatutnya dilakukan. Apatah lagi melibatkan pasangan yang telah memiliki suami atau isteri.Istilah skandal di tempat kerja tidak tertakluk hanya kepada pasangan yang telah berkahwin tetapi juga boleh terjadi kepada mereka yang telah mempunyai kekasih. Bagaimana skandal di tempat kerja boleh berlaku?

Di sini saya kongsikan 10 sebab mengapa berlakunya skandal di tempat kerja baik untuk wanita mahupun lelaki. Alasan ini boleh membuatkan kita lebih berwaspada terhadap apa yang berlaku di pejabat pasangan kita. 

Sifat & Tabiat. Percayalah bahawa tabiat buruk lelaki atau perempuan yang suka dirinya menjadi kekasih gelap adalah punca berlakunya skandal di tempat kerja. Bagi mereka jika mereka menjadi buruan lelaki mahupun wanita, mereka menjadi lebih popular dan istilah playgirl atau playboy akan digunakan bagi menerangkan secara jelas jenis lelaki atau wanita tersebut.

Tewas kepada pujuk rayu. Kadangkala secara langsung kita menidakkan mahu terlibat dengan skandal di tempat kerja tetapi atas sebab dan faktor tertentu akhirnya kita tewas jua. Bergantung kepada bagaimana pasangan memujuk untuk menjadikan kita pasangan skandalnya, jika tewas atas rayuannya maka tentunya kita akan terlibat dalam skandal di tempat kerja.

Mengisi kekosongan hati. Hubungan rumahtangga yang tidak stabil boleh menjerumuskan seseorang memiliki skandal. Tanpa dicari, kadangkala zahiriah raut wajah kita boleh menceritakan segala-galanya tentang kesunyian kita kepada rakan sekerja yang pasti mengambil kesempatan kepada diri kita.

Terlalu terhutang budi. Tidak semua rakan sekerja yang menghulurkan bantuan secara ikhlas. Segilintirnya mengharapkan balasan dalam berbagai bentuk. Budi yang tidak terbalas membuatkan kita rasa terhutang kepada rakan sekerja dan dalam erti kata lain, kita terpaksa menurut apa sahaja kehendak rakan sekerja seperti menagih cinta skandal.

Meluahkan perasaan pada orang yang salah. Emosi yang terganggu di rumah tidak sepatutnya dibawa ke tempat kerja. Apatah lagi sekiranya masalah itu dikongsi bersama rakan sekerja yang bukan sejenis. Dari hari ke hari akan mendatangkan simpati yang akhirnya membuatkan mereka lebih rapat dan kemesraan akan timbul jua akhirnya.

Sikap terlalu terbuka. Mempunyai sikap yang terlalu terbuka dan tiada batasan sehingga menganggap skandal di tempat kerja hanya sekadar suka-suka boleh memakan diri sendiri. Jika tidak dihadkan lama kelamaan ianya boleh memutikkan benih-benih kasih sayang atas sebab perhatian dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh pasangan skandal.

Tidak mampu menyimpan rahsia. Rahsia rumahtangga adalah rahsia diantara seseorang dengan pasangannya yang sah. Jika ianya menjadi bualan rakan-rakan sekerja, perkara itu akan membuka aib pasangan kita dan membuka ruang dan peluang kepada rakan sekerja "masuk jarum".

Tidak setia. Pasangan yang terlibat dalam skandal di tempat kerja tentunya daripada jenis yang tidak setia. Membina ikatan perkahwinan adalah sangat susah dan menghancurkannya terlalu mudah. Akibat terlalu memikirkan rakan sekerja di ofis, mereka sanggup melakukan kecurangan kepada pasangan yang sah dirumah.

Suka mengambil kesempatan. Ada juga lelaki atau wanita yang suka mengambil kesempatan terhadap rakan sekerja demi kepuasan diri sendiri. Contohnya jika skandal yang dimiliki mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh yang mampu menuruti segala kehendak nafsu semata-mata. Maka tentunya kos yang dikeluarkan kepada kita bukannya percuma. Pasti ada ruang rakan sekerja mengambil langkah tertentu untuk menjadikan kita skandalnya.

Masa yang mencukupi. Tempoh masa bekerja dan berada di rumah adalah berbeza, waktu berada di pejabat lebih panjang jika dibandingkan waktu berada di rumah selain daripada tidur. Apa bila setiap hari bertemu, mata bertentang mata, saling bantu membantu, saling terhutang budi, saling berkongsi rahsia, saling makan bersama, mempunyai perasaan yang sama akhirnya skandal akan berlaku.

Banyak lagi sebab berlakunya skandal di tempat kerja selain daripada sebab di atas. Tentunya ianya mampu meruntuhkan institusi kekeluargaan apabila melibatkan penceraian, pergaduhan dan lebih malang lagi ianya menjadi madu dalam sebuah keluarga.

2 ulasan:

  1. Betul sangat.bru2 ni pun ada di tmpt kerja da berumur tp nak skandal.blh xbg tips katakan tidak kepada org mcmtu.kesian wife dia kn

    BalasPadam
    Balasan
    1. Zaman sekarang kan... Apa yang ada di tv cmtu la yang berlaku secara realitinya... Pokok pangkalnya, kalau sorang nak dan sorang x nak x jadi juga.. Nanti saya akan cuba bagi tips....

      Padam